22 Sep 2013

Hoki remaja langkah kanan Featured

JOHOR BAHRU - Selepas berada pada kedudukan tercorot tahun lalu, Malaysia memulakan langkah kanan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2013 apabila menewaskan Argentina 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya di sini semalam.

 

Kedua-dua pasukan beraksi cemerlang sebaik perlawanan bermula, namun Malaysia berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti untuk menjaringkan gol pertama melalui Muhd. Shahril Saabah pada minit ke-7.

Argentina yang menggandakan asakan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi Lucas Martinez, namun Muhd. Shahril sekali lagi meletakkan Malaysia di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

Pada separuh masa kedua, Muhd. Shahril sekali lagi menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-39.

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan apabila pukulan Muhd. Rashid Baharom pada minit ke-51 terus menerjah ke gawang gol.

Argentina yang memperoleh mata kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-64 oleh Isidoro Carlos Ibarra pada minit 64 bagaimanapun sudah terlambat untuk mengatasi Malaysia apabila keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Jurulatih skuad hoki remaja negara, Dhaarma Raj Muhammad berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan mutu permainan yang ditunjukkan oleh kesemua anak buahnya itu.

''Malaysia berjaya memberi tekanan kepada Argentina hingga menyebabkan mereka membuat kesilapan yang akhirnya menyumbangkan mata buat kita.

''Selain itu, Muhd. Shahril juga banyak membantu pasukan menerusi pukulan sudut penalti yang berjaya disempurnakan olehnya dan membuktikan bahawa itu adalah kelebihannya," katanya selepas tamat perlawanan.

Meskipun memperoleh tiga mata penuh, beliau bagaimanapun enggan cepat berpuas hati sebaliknya akan memberi fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Korea esok.

Dalam perlawanan lain, naib juara tahun lalu India terpaksa berpuas hati apabila menang tipis 2-1 ke atas England, manakala Pakistan beraksi cemerlang selepas menundukkan Korea 3-0.

Kejohanan kali ini yang masuk edisi ketiga penganjurannya akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130923/su_05/Hoki-remaja-langkah-kanan#ixzz2ffW3FmVc 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Read 1029 times
Rate this item
(0 votes)

OUR SPONSORS