24 Sep 2014

Skuad remaja cemerlang di Perth

WALAUPUN pertama kali beraksi di luar negara, skuad hoki remaja negara dilihat tidak mempunyai masalah untuk menampilkan aksi cemerlang.
Pasukan yang dikenali dengan nama Skuad Projek 2016 itu tidak mencatatkan sebarang kekalahan dalam empat siri perlawanan persahabatan menentang Institut Sukan Australia Barat (WAIS) di Stadium Hoki Perth, Australia. Skuad remaja negara berjaya meraih satu kemenangan (2-0) dan tiga seri (1-1, 3-3 dan 2-2) yang mana ia merupakan satu pencapaian cemerlang dalam usaha mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2014 (SOJC) bulan depan. Pengurus pasukan, Mirnawan Nawawi ternyata gembira melihat kesungguhan yang dipamerkan anak-anak buahnya dalam siri persahabatan menentang skuad bawah 21 tahun WAIS itu. "Para pemain bekerja begitu keras dalam semua perlawanan dan mereka tidak menyerah kalah sehingga wisel penamat biarpun pada ketika kami ketinggalan. "Ini adalah satu kualiti yang amat menggembirakan pengurusan pasukan. Apa pun banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki menjelang SOJC nanti. "Saya percaya pengalaman bermain di Perth menentang pasukan berkualiti seperti (WAIS B-21) menjadikan para pemain lebih matang dan mempunyai idea cara hoki Australia," katanya kepada Kosmo! semalam. Sementara itu, Mirnawan mengesahkan senarai 18 pemain yang akan menggalas cabaran negara ke SOJC akan diumumkan selepas aksi persahabatan menentang Great Britain pada 8 Oktober depan. "Kami akan memulakan latihan semula esok (hari ini) dan akan ke Port Dickson untuk menjalani kem motivasi bermula 28 hingga 30 September ini. "Senarai 18 pemain yang akan menyarung jersi negara ke Piala Sultan Johor akan dibuat selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan Great Britain," jelasnya. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3EFOaaKqi Hakcipta terpelihara
Read 970 times
Rate this item
(0 votes)

OUR SPONSORS